Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya apabila Allah SWT telah mengurniakan sesuatu nikmat kepada hamba-Nya, Dia suka melihat kesan nikmat yang telah dikurniakan itu. Allah SWT benci melihat orang yang menzahirkan kefakiran dan orang yang meminta-minta serta Allah SWT mengasihi orang yang bersifat malu dan memelihara kehormatan. (Riwayat Baihaqi)
Huraian :
1. Setiap manusia mempunyai berbagai-bagai nikmat kurniaan Allah SWT sama ada berupa kesihatan, penglihatan, pendengaran, kekayaan, kebijaksanaan, pekerjaan, pangkat dan sebagainya. Oleh itu sebagai menunjukkan tanda kesyukuran tersebut, sewajarnya nikmat-nikmat itu digunakan semaksimanya dengan cara sentiasa berusaha ke arah kebaikan diri, agama, bangsa dan negara.
2. Menzahirkan kefakiran dan bersikap suka meminta-minta adalah antara sifat orang yang kufur nikmat kerana ia tidak memanfaatkan nikmat yang sedia ada untuk berusaha dan berikhtiar mengubah nasibnya, bahkan cara ini sebenarnya menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai perasaan malu yang sekali gus merendahkan maruah dirinya sendiri.
3. Malu adalah salah satu daripada cabang iman di mana pengertian malu mengikut syarak itu ialah perasaan yang mendesak seseorang itu supaya menghindarkan segala yang keji dan melaksanakan segala apa yang terpuji. Sumbernya adalah dari hati atau jiwa yang sedar tentang pengawasan Allah atas gerak-geri yang menyebabkan ia terpelihara zahir dan batin daripada perbuatan dan unsur-unsur yang mengundang kemurkaan Allah.


























0 comments:
Catat Ulasan